May 5, 2009

Entry 060 - Petua Mencari Pasangan Hidup

Wahai blog,

Dalam menceritakan kisah-kisah hidupku ini, kadang-kadang terlintas jua di fikiran ini tentang betapa mudahnya kita memulakan hubungan cinta sesama manusia. Lahirnya perasaan cinta ini bukanlah satu kesalahan, kerana Islam sendiri menyatakan untuk kita mencari pasangan di dunia ini. Manusia diciptakan berpasangan. Tetapi, pasangan yang bagaimanakah harus kita cari? Kriteria apakah yang harus kita miliki?

Masih aku teringat pesan ibuku semasa aku masih di bangku sekolah. Carilah isteri yang:

1. Ada iman, ada ilmu.
2. Ada budi, ada bahasa.
3. Ada rupa, ada harta.

Pada usia yang masih ranum itu, setiap perkataan tidak langsung membawa maksud kepadaku. Aku tidak terlalu memikirkan tentang hal cinta seperti rakan-rakanku yang lain. Takkala rakanku mengejar gadis-gadis di sekolahku, aku masih bergembira dengan rakan-rakanku yang lain. Persahabatan merupakan asas kegembiraan aku. Namun, bila usiaku melonjak dewasa, lahirnya perasaan cinta di dalam hati ini serta merta. Bukan kerana lonjakan nafsu, tetapi aku lebih selamat untuk mengatakan ianya adalah perasaan mahu disayangi. Ketika itu, pesan ibuku tidak terlintas di fikiranku. Mungkin juga kerana itu, kebanyakan hubunganku tidak berjaya, dan menemui jalan buntu. Maka, apakah yang harus aku cari sebenarnya? Adakah sekadar mencari pasangan semata-mata mahu menunjukkan kepada yang lain bahawa kita sudah berpunya, atau hanya sekadar mahu berasa diri hebat kerana mempunyai kekasih, ataupun, hanya kerana suka-suka? Sebaliknya, seperti pesan ibuku, itulah yang sebenar-benarnya yang harus kita cari dalam mencari pasangan hidup kita, pasangan yang akan kekal, pasangan yang akan dibawa sehingga ke hujung usia, mahupun syurga. Setiap urutan yang dinasihatkan oleh ibuku, ada makna dan rasionalnya.

Ada iman, ada ilmu - Carilah isteri yang benar-benar beriman, yang dapat mendidik anak-anak di kelak waktu. Isteri yang beriman adalah juga tuntutan Islam kerana lebih senang untuk dididik, dibimbing, dan juga dapat mengelakkan dari nusyuz (didikan dan bimbingan tidak bermaksud mahu mengubah peribadi seseorang isteri itu, tetapi ini menunjukkan ketaatan pada suami). Isteri yang berilmu, walaupun tidak dituntut, tetapi merupakan suatu kriteria yang tidak kurangnya penting. Kerana dengan perkembangan zaman sekarang, wanita juga merupakan berhak untuk mencari nafkah untuk diri sendiri, dan berhak berjaya. Dengan adanya ilmu, ekonomi rumah tangga akan lebih terjamin. Ini adalah kerana dua orang yang bekerja adalah lebih bermanfaat, terutamanya pada keadaan ekonomi yang gawat sebegini.

Ada budi, ada bahasa - "Dari Aisyah r.a, isteri nabi s.a.w, dari nabi s.a w sabdanya: "Sesungguhnya ramah tamah dalam segala urusan menjadikan urusan itu cantik (berjaya). Tanpa ramah tamah nescaya setiap urusan menjadi buruk." Hadith Muslim ini menerangkan tentang pentingnya untuk seserang itu memiliki budi pekerti yang indah. Budi pekerti yang baik adalah penanda bahawa insan itu akan memberikan ketenangan kepada pasangannya. Dengan itu, bakal isteri hendaklah memiliki sifat sebegini kerana ia merupakan penyejuk hati suami apabila bertemu dengan masalah-masalah harian. Selain itu, keindahan berbahasa juga akan memberikan keselesaan kepada sesiapa sahaja. “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila dia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya” (Hadis Riwayat Muslim). Isteri yang memiliki ciri ini adalah kunci untuk menjaga rumah tangga kerana mereka dapat memahami isi hati suami, dan memilih kata-kata yang sesuai untuk berbincang. Benarlah kata orang, kesopanan melambangkan peribadi seseorang.

Ada rupa, ada harta - Islam ada menyatakan tentang dalam mencari isteri, carilah yang mempunyai rupa dan harta, kerana kebiasaannya yang memiliki kedua-dua sifat ini adalah mereka yang dari keturunan yang baik-baik (maafkan saya, hadisnya tidak dapat saya jumpai). Walaupun demikian, saya fahami, dengan modenisasi masyarakat sekarang, rupa dan harta tidak boleh dijadikan sandaran. Ini hanyalah apa yang dipesan di dalam Islam, mungkin ada rasionalnya di sebalik cadangan ini.

Ini apa yang dikatakan oleh ibuku. Perlu diingatkan, ianya menurut turutan. Jangan dicari yang mempunyai rupa dan harta, kalau tidak beriman kepada Tuhan, apakah gunanya mempunyai kesemuanya tetapi menghabiskan di jalan yang salah? Setiap satu berkait antara satu sama lain.
Oleh itu, perlulah kita sedar tentang betapa pentingnya untuk kita mencari atau memiliki sifat-sifat ini.

Tetapi, apakah ciri-ciri lelaki yang dituntut sebagai suami? Seperti mana yang disarankan oleh isteri Rasullullah, Khadijah, hendaklah mencari lelaki sebagaimana sifat yang dimiliki oleh Rasullullah S.A.W. iaitu:

1. Beragama dan bertaqwa kepada Allah
2. Boleh menjadi pemimpin
3. Jujur dan tidak mengambil kesempatan
4. Amanah dengan tugas

Walaupun kriteria sebegini kadang-kala sukar untuk dicari pada lelaki waktu kini, saya yakin dalam mana-mana diri lelaki, tersembunyi ciri-ciri ini. Yang pentingnya adalah untuk dia beragama dan bertaqwa, serta boleh memimpin. Kerana dengan pimpinannya barulah keutuhan rumah tangga itu lebih terjamin. Kejujuran juga penting kerana dalam hubungan suami isteri, hendaklah sama-sama jujur terhadap satu sama lain. Di atas kejujuran isteri, tidak bolehlah untuk suami mengambil kesempatan ke atasnya, ataupun dengan erti kata lain, berlaku curang. Selain itu, suami yang amanah dengan tugasnya sebagai pemimpin dalam keluarga. Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia(iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.” (Dari Riwayat Ibn Majah). Ini juga disokong oleh Saad bin Abi Waqas r.a. yang menceritakan bahawa rasulullah s.a.w pernah bersabda:’Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumahtangga) akan diberi pahala juga oleh Allah.” (Al-Bukhari). Bukan sahaja suami melaksanakan amanahnya, tetapi juga dia akan dianugerahkan dengan pahala oleh Tuhan. Dengan adanya sifat-sifat yang telah dinyatakan di atas, maka suami yang cemerlang akan dapat dicari dan sekaligus menjamin pembentukan keluarga yang bahagia dan kukuh.

Segala tulisan di sini tidak bertujuan untuk membentuk persepsi masyarakat, kerana saya yakin semuanya antara kita sudah tahu menilai apa yang baik dan buruk untuk diri sendiri. Apa yang dinyatakan di sini hanyalah sekadar bimbingan dan nasihat untuk rakan-rakan sekalian. Sama-samalah kita berdoa untuk mencari pasangan, biarlah pasangan itu berkekalan sehingga ke akhir usia. Amin.

4 comments:

mizz eyra said...

bro..sila apply kerja as a article writer or motivation book author ke..sesuai sgt da tu..bahasa bukan main lg..hehe..

Unknown said...

hahaha kalo la bley dpt, mmg kena reject dh. bahasa x interesting lngsg. sah ngantuk kalo org baca.

Pokjak a.k.a. Aizat said...

heh2 ko da dpt calon kn. kira petua ni berkesan sgt la.. post kt Metro sure dpt royalti nih heh2

Unknown said...

hahaha kalau la diorg mau trima. lgpun sapa la aku ni hahaha